Wednesday 15 May 2013

Wanita yang obses pada kecantikan menggadai prinsip agama dan moral


Wanita amat obses dengan kecantikan malah mereka sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk kekal cantik dan menawan. Tambahan pula, wanita yang berkerjaya sentiasa ingin tampil bergaya pada setiap masa. Pada zaman sekarang, pelbagai produk kecantikan dikeluarkan berasaskan bahan kimia yang rata-ratanya memberi kesan negatif kepada badan dalam tempoh  jangka masa panjang.
Kulit yang cantik, badan yang menawan sentiasa menjadi impian dan idaman setiap wanita. Semakin meningkat usia seseorang wanita, lebih tinggi kehendak dan keperluan mereka untuk cantik. Adakah kecantikan wanita itu hanya dilihat dari sudut luaran tanpa mendalami kecantikan hakiki di dalam hati?
Wanita yang berkerjaya ingin sentiasa kekal cantik untuk lebih bersedia menghadapi cabaran di luar. Berbeza dengan wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa dan kurang mengambil berat mengenai kecantikan dalaman dan luaran. Wanita yang tidak dianugerahkan kecantikan atau tubuh badan yang menawan merasakan diri tidak yakin dan merendah diri. Ini sebenarnya menghalang kemajuan dalam diri seorang wanita.
Lelaki mana yang tidak sukakan wanita yang cantik? Berbohonglah lelaki tersebut jika tidak tertarik dengan wanita cantik dan berbadan menawan. Tapi usah risau wanita yang tidak dianugerahkan kecantikan, anda sebenarnya mempunyai kelebihan lain yang tidak ada dalam diri wanita cantik. Sedih jika dilihat kembali, ramai wanita menjadikan kecantikan luaran adalah satu keutamaan. Mengambil pil-pil kurus yang mengadungi bahan kimia yang diharamkan oleh kerajaan malah boleh menyebabkan kematian.
Kecantikan adalah aset keagungan seorang wanita, Sedarlah wahai wanita, kecantikan seorang wanita bukan terletak pada wajahnya tetapi kelembutan jiwanya. Apa gunanya wanita yang wajahnya cantik, tapi hatinya buruk dan busuk. Sifat bangga dan ego menyelubungi tanpa ada sifat rendah diri dan tidak sedar kecantikan itu hanyalah pinjaman dari Allah. Wahai wanita peliharalah dirimu, jangan sesekali rebah di pintu neraka akibat kecantikan yang sementara. Ingin saya berkongsi sepotong hadith daripada Abu Hurairah Abd Rahman bin Sakhr RA katanya, “Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi dia melihat jantung hati (niat) kamu
Percayalah wahai kaum hawa, sifat kelembutan jiwanya akan menenggelamkan kecantikan luaran yang dimilikinya. 80% lelaki meletakkan kelembutan jiwa pada tahap atas sekali berbanding kecantikan wajah. Jangan takut dan risau jika tidak bertemu jodoh kerana kuasa Allah besar tidak terhingga. Mata manusia hanya sukakan bentuk rupa fizikal yang cantik sehingga sanggup menghina insan yang lain. Letakkan Al-quran dan sunnah di hati kita supaya diri tidak terjerat dengan mainan asyik dunia.
Wahai wanita, usah terjerat dengan nafsu dunia, sucikanlah hati supaya iman kita sentiasa dipelihara olehNya. Jangan leka jika niat kita untuk cantik hanya kerana lelaki yang bukan muhrim, sebaliknya suami sendiri tidak diendahkan. Berhias cantik wahai wanita untuk suamimu kerana syurga terletak di telapak kaki suami. Bukan senang nak menambat hati suami supaya tidak curang dengan anda.
Sebelum itu, saya ingin bertanya kepada anda wahai wanita di seluruh dunia. Apa yang telah anda lakukan untuk cantik luaran dan dalaman?

No comments:

Post a Comment